Thursday, July 25, 2019

Gadis dan Anjing Kurap

Inspirasi daripada kisah benar. Ada sebuah rumah panjang. Ia terletak di kawasan pedalaman Sarawak. Rumahnya terdiri daripada 57 pintu. 57 pintu bermakna 57 buah keluarga yang tinggal di dalamnya. Rumah panjang ini seorang tuai rumah. Mereka petani iaitu menanam padi serta tumbuh-tumbuhan lain seperti pokok-pokok buah-buahan. Mereka juga nelayan sungai dan memburu haiwan di hutan.


Di rumah panjang itu ada sebuah keluarga. Ada 3 generasi di dalam keluarga tersebut iaitu datuk dan nenek, ibu ayah dan anak perempuan seramai 6 orang. Seorang daripadanya agak kelakian sifatnya memandangkan semua adik beradik yang lain perempuan. Jadi tugas-tugas berat seperti membakar semak untuk menanam padi, menebang pokok untuk dijadikan kayu api, memburu haiwan di hutan dilakukan olehnya. Oh ya namanya Eka (bukan nama sebenar). Umurnya baru 16 tahun. Panjang pula intro.

Jadi dalam rumah panjang ini ada membela beberapa ekor anjing untuk dibawa ketika berburu dan menjaga keselamatan ahli rumah panjang. Salah seekor anjing ini berumur beberapa tahun. Jasanya banyak cuma ia kena kurap teruk di seluruh badan. Nama anjing ini Saloi. Banyak pemandangan indah di sekitar rumah panjang tapi apabila sesiapa memandang Saloi pasti sakit hati sebab rupanya yang teruk.

Ada yang kasihan sebab Saloi nampak sangat menderita dengan penyakit kurap yang dihidapinya. Pada masa yang sama ada juga penghuni yang rasa menyampah melihat kelibatnya di rumah itu. Keadaan ini berlaku beberapa waktu hinggalah pada suatu hari, Eka dipanggil oleh tuai rumah. Dia diberikan tugas khas iaitu menenggelamkan Saloi ke dalam sungai hingga mati. Eka tak mahu tapi terpaksa menurut perintah ketua rumah itu. Ini kerana perasaan tak senang serta maklum balas daripada majoriti penghuni di rumah panjang itu menyebabkan tuai rumah itu terpaksa memberi satu keputusan bagi semua pihak penghuni di situ. Kenapa Eka yang dipilih untuk menjalankan misi itu? Saya tak ada jawapannya.Saya cuma bercerita saja seperti yang disampaikan kepada saya.

Jadi, pada hari kejadian, Eka pun memberi Saloi makan. Kiranya itu makanan terakhirnya. Eka mengelap air mata yang jatuh kerana kasihankan Saloi. Sebelum itu Eka dah siap-siap masukkan ke dalam beg kainnya sehelai guni dan juga tali. Selepas Saloi habis makan Eka mengajak Saloi mengikutnya berjalan. Mereka berjalan meninggalkan rumah panjang itu sambil diperhatikan oleh tuai rumah dan beberapa orang yang kebetulannya berada di bahagian ruai rumah tersebut. Ruai rumah ialah ruang tamu yang luas untuk seluruh penghuni rumah panjang.


Sampai di sungai. Eka memandang Saloi. Saloi pun memandang Eka dengan mata yang sedih. Eka menarik nafasnya dalam-dalam lalu menarik Saloi perlahan-lahan masuk ke dalam guni. Guni itu sudah terlebih dahulu Eka masukkan beberapa ketul batu supaya senang tenggelam. Saloi pula bendul ikut saja dan tidak melawan pun. Masuk saja Saloi, Eka cepat-cepat mengikat mulut guni dengan tali yang dibawanya tadi. Saloi mula panik dan menyalak-nyalak sambil cuba melepaskan diri. Eka mengangkat guni berisi Saloi lalu berenang ke tengah sungai dan melepaskan guni itu tenggelam di situ.


Eka cepat-cepat berenang ke tepi. Dia memerhati tengah sungai iaitu tempat yang dia lepaskan guni Saloi tadi. Blurp...blurppp...blurp.. bunyi udara naik ke atas. Eka nampak ada buih-buih udara naik ke atas sungai. Eka menangis. Tak sanggup dia jadi pembunuh. Terus dia terjun dan berenang semula ke tengah sungai tadi. Dia menyelam dan pergi ke arah guni Saloi. Dalam air yang tenang dan agak jernih itu dia ternampak guni Saloi lalu menariknya. Dia berenang sambil membawa guni itu ke tebing sungai. Dalam tercungap-cungap itu cepat-cepat dia membuka tali guni dan mengeluarkan Saloi.


Mujurlah Saloi belum mati lagi dan cuma hampir pengsan sebab dah terminum banyak air. Eka menekan-nekan dada dan perut Saloi untuk menyelamatkannya. Saloi sedar dan terbatuk-batuk sambil mengeluarkan air daripada mulutnya . Jangan tanya saya macam mana anjing batuk ya. Eka berasa sangat lega. Dia mengusap-usap kepala Saloi sambil berkata "Maafkan aku Saloi". Tak berapa lama kemudian, Eka dan Saloi berjalan pulang ke rumah panjang.


Dalam dua-duanya basah lenjun mereka sampai ke rumah panjang sambil disaksikan oleh penghuni yang lain. Ada yang menjenguk di pintu. Ada yang mengintai di tingkap. Ada yang berdiri di tangga. Ada yang berhenti daripada mengisi padi yang sudah dijemur ke dalam guni apabila melihat kedua mereka. Semua orang diam seribu bahasa. Tiada siapa yang berani bertanya atau menegur. Eka membawa Saloi naik dan masuk ke dalam bilik (rumah) mereka dan tak kelihatan hinggalah hari besoknya.

Awal pagi besoknya, Eka pergi ke pasar dengan menaiki bas. Dia pergi ke kedai Cina yang ada menjual belerang. Dia membeli belerang kemudian balik. Dengan belerang itu dia mengubati kurap pada badan Saloi. Dia mencampurkan belerang dengan minyak kelapa. Dilumurnya di seluruh badan Saloi. Selama seminggu dia mengubati Saloi. Selang beberapa minggu kemudian keadaan kurap Saloi beransur kurang dan hilang. Bulu-bulu baru telah mula tumbuh dengan baik dan Saloi telah menjadi anjing yang comel semula.


Sejak dari itu, Saloi telah menjadi anjing kesayangan Eka hingga ke akhir hayatnya.

(787 pp)

No comments:

Post a Comment

Tasik Kenyir

Saya share gambar dulu.