Sekolah menengah saya dahulu adalah sekolah yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.
Seronok belajar di sekolah itu sebab kita boleh berkenalan dan berkawan baik dengan rakan sekelas dan sekolah yang datang daripada pelbagai latar belakang.
Majoriti pelajar di sekolah itu adalah Melayu dan Iban. Diikuti oleh etnik Cina, Bidayuh, Melanau dan lain-lain.
Pelajar dari Semenanjung Malaysia juga ada. Mereka ini adalah anak-anak tentera yang berkhidmat di bandar kami. Semasa saya masuk tingkatan 1, majoriti kawan sekelas saya ialah orang Iban dan Cina.
Di dalam kelas kami, ada 2 orang budak Cina, seorang Iban campur Cina, seorang lagi Melayu serta seorang lagi Iban yang sangat menjengkelkan kami semua.
Mereka ini kalau tak mengganggu pelajar perempuan memang hidup mereka tak sah. Baju uniform sekolah saya pernah dilap dengan pen dakwat merah yang pecah oleh salah seorang daripada mereka.
Antara aktiviti-aktiviti 'sihat' mereka yang lain ialah menarik rambut atau tudung kami, mengetuk kepala pelajar perempuan dengan pembaris atau pemadam papan hijau, menahan kaki mereka di jalan supaya kita yang berjalan tersadung, mengejek-ejek serta menyuakan serangga seperti belalang atau kumbang kepada kami hingga kami cabut lari.
Bayangkanlah pembulian yang terpaksa kami lalui pada zaman itu. Huhu.
Mereka-mereka inilah antara yang selalu keluar masuk bilik cikgu disiplin.
Saya pernah mengadu dengan cikgu bahasa Inggeris apabila diganggu semasa subjek itu diajar tapi cikgu tersebut cuma memarahi budak itu saja.
Bengang saya dibuatnya. Dia berhenti sekejap tapi esok lusa perangainya tetap sama.
Sampai ada satu masa itu saya fikir dah besar nanti mereka nak jadi apa agaknya. Entah-entah jadi geng mafia.
Selepas habis tingkatan 3 saya tak pernah berjumpa lagi dengan mereka kecuali 2 orang.
Yang lainnya agaknya tak dapat melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4. Zaman saya dulu pelajar mesti lulus peperiksaan SRP atau Sijil Rendah Pelajaran untuk melayakkan diri masuk ke tingkatan 4.
Subjek paling 'best' dan paling menyeronokkan ialah lukisan dan pendidikan jasmani.
Di kelas kami cikgu pendidikan jasmani kami adalah jurulatih bola tampar sekolah. Hampir tiap minggu kami berlatih bermain bola tampar.
Disebabkan itulah saya menyukai sukan bola tampar hingga sekarang. Saya belajar di sesi petang. Jadi subjek pendidikan jasmani biasanya akan dibuat pada masa terakhir pada hari itu.
Ada sekali sedang kami bermain bola tampar, tiba-tiba bola yang dipukul oleh seorang kawan saya tersangkut di atas pokok.
Nak jolok takda kayu jadi saya pun buka sebelah kasut lalu membaling bola itu. Bola itu terlepas jatuh ke bawah tapi malangnya kasut saya pula yang jadi ganti bola itu dan tersangkut di atas pokok.
Kawan-kawan semua ketawa. Macam-macam cara kami cuba nak jatuhkan kasut tapi tak berjaya. Masa kelas tamat dah nak hampir tiba.
Akhirnya kami minta tolong salah seorang pelajar lelaki memanjat pokok itu untuk mengambil kasut saya.
Dapat saja kasut, loceng pun berbunyi. Kami pun mengumpul dan menghantar bola-bola ke dalam setor. Kemudian baharu lah kami balik.
Di kelas lukisan, saya paling suka jika cikgu membawa kami keluar dari kelas dan menyuruh kan memilih tempat yang tertentu untuk kami lukis.
Lukisan ada 2 masa. Masa pertama melukis di lapangan. Masa kedua mewarna di dalam kelas.
Jika guna pewarna air, lukisan hanya boleh dihantar kepada cikgu pada hari berikutnya kerana nak tunggu lukisan kering mengambil masa.
Ada yang menyambung mewarna lukisan di rumah. Saya juga mengambil kelas tambahan untuk belajar melukis.
Ada seorang cikgu dari sekolah lain yang mengajar pelajar-pelajar yang berminat. Satu sesi kelas ialah RM1.50. Sangat murah dan sangat berbaloi.
Jadi saya akan mengumpul duit belanja sekolah untuk pergi ke kelas tuisyen itu. Cikgu itu mengajar lukisan di bawah rumahnya.
Rumahnya cuma setingkat. Jadi di bawah rumah beliau sediakan beberapa meja panjang dan bangku.
Orang lain pergi ke kelas tuisyen Matematik, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Kami pula pergi ke kelas melukis.
Zaman persekolahan memang sangat menggembirakan. Sekarang pun, apabila saya sedih atau stres, saya akan mengingati semula kenangan manis di sekolah sambil tersenyum.
(634 pp)
No comments:
Post a Comment