Semasa saya tingkatan 1 saya ada seorang teman baik bangsa Cina. Namanya Kung Jim.
Kung Jim ini kurus dan tinggi lampai orangnya. Boleh juga kata kurus dan nipis.
Sepanjang tahun itu, kerap juga dia tak dapat hadir kerana mewakili sekolah dalam pertandingan bola keranjang di peringkat sekolah dan negeri.
Abangnya yang di tingkatan 2 juga adalah pemain bola keranjang sekolah kami. Memang orang harapan sekolah.
Jadi Kung Jim ini memang banyak ketinggalan kelas. Kadang-kadang dia juga tak cukup waktu untuk mengulangkaji subjek jika ada ujian bulanan.
Sayalah sumber jawapan untuk soalan Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu. Dia duduk di hadapan saya di dalam kelas.
Setiap kali ada soalan yang dia tak tahu nak jawab dia akan bagi pemadam atau kertas kecil yang dilipat-lipat yang ditulis nombor soalan ujian. Konon-konon kami pinjam pemadam. Kelakar bila ingat balik.
Masa itu pula soalan 'multiple choices' . Lagilah senang nak bagi jawapan. Sebenarnya bukan setakat ujian saja, malah semasa peperiksaan pun sama. Hahaha.
Saya pun bukan rajin sangat nak belajar. Dahlah langsung tak menjadi wakil sekolah untuk apa-apa pun, belajar pun cukup-cukup makan. Hmmm.
Boleh pula si Kung Jim ini (kadang-kadang saya panggil dia Jim atau Ah Jim) mengharap sangat dengan jawapan saya. Kalau saya terjun parit, dia pun ikut sama agaknya.
Sebenarnya saya pun apa kurangnya, saya pun selalu juga meniru dia dalam ujian dan peperiksaan Matematik. Dua kali limalah saya dengan dia.
Sains saja kami tak meniru antara satu sama lain. Saya pun tak pasti apa sebabnya.
Saya dan Jim selalu berkongsi makan keropok sementara menunggu cikgu masuk ke dalam kelas.
Jika cikgu tak ada akan bermulalah sesi kelas bahasa Mandarin kami. Saya banyak memahami bahasa Mandarin disebabkan Jimlah.
Selalunya Jim akan trol salah seorang rakan sekelas kami yang kami panggil Nenek. Memang rupanya macam nenek walaupun baru berumur 14 tahun.
Tinggal lagi mukanya tak berkedut. Oh ya, budak-budak Cina di sekolah kami senior setahun daripada kami sebab mereka akan masuk ke kelas peralihan selama setahun sebelum masuk tingkatan 1.
Jadi Jim dan seorang lagi kawan Cina kami iaitu Siew Luang akan menulis rumi apa-apa nota dalam bahasa Mandarin kepada Nenek.
Mereka akan menyuruh saya membaca terlebih dahulu sampai bunyi sebutan saya betul. Biasanya mereka berdua akan menterjemahkan makna ayat dalam nota itu hanya selepas saya membaca nota tersebut kepada Nenek.
Saya, boleh pula tak kisah sebab pada saya yang penting happy donk! Teruk betul perangai masa itu. Apabila mereka rasa saya dah sebut dengan betul baharulah mereka menyuruh saya pergi ke meja Nenek dan membaca nota itu.
Misalnya, "Nenek kenapa nampak sedih hari ini? Gagal ujian Sejarah ke? atau "Kami ada berita baik untuk Nenek. Ada budak lelaki kelas sebelah minat Nenek. Namanya Datuk."
"Nenek kenapa asyik termenung tengok luar tingkap. Nenek nampak hantu ke?" "Nenek ada gigi lagi ke nak kunyah makanan?"
Semasa saya membaca Jim dan Siew Luang akan memerhati dari jauh sambil menahan ketawa. Nenek pula akan duduk diam mendengar sambil menjeling tajam ke arah dua orang budak nakal itu. Dajal punya kawan. Hahaha.
Antara ramai kawan sekolah yang saya rindu nak jumpa adalah dia. Dia tak ada Facebook atau dia mungkin dia gunakan nama lain.
Ingin sangat nak tahu rupa dia macam mana sekarang. Dah gemuk atau dah berisikah? Atau masih kurus keding seperti dulu?
Saya cari di internet namanya tapi saya jumpa satu saja. Memang dia. Jim dah jadi cikgu rupanya. Cuba teka cikgu subjek apa? Cikgu SEJARAH! Hahaha. Jim saya rindu kamu!
(601 pp)
No comments:
Post a Comment