Cikgu Lee menjadi guru kelas kami selama dua tahun iaitu dari tingkatan 2 hingga tingkatan 3.
Di samping itu dia mengajar kami subjek Matematik. Bagi saya subjek ini adalah killing subject sebab saya tak pernah lulus.
Syarat lulus SRP pada masa itu pula adalah wajib lulus untuk subjek Bahasa Malaysia dan juga Matematik.
Boleh dikatakan saya tak pernah lulus ujian kelas atau peperiksaan penggal dan juga peperiksaan trial untuk subjek ini.
Disebabkan itu subjek-subjek lain walaupun mendapat markah yang baik tetap tidak bermakna. Perkara itu menyebabkan kedudukan saya di dalam kelas jatuh teruk hingga ke tempat 40 lebih.
Saya rasa tertekan dan sedih. Saya cuba berbagai cara untuk memperbaiki keputusan Matematik saya sepanjang dua tahun itu.
Saya ikut kawan baik saya di kelas 2B iaitu Ramie (nama dekat-dekat sama. Haha) ke kelas tuisyen. Ramie adalah kawan baik saya sejak sekolah rendah dan kami jiran sekampung.
Saya buat latih tubi selepas waktu kelas. Saya juga bertanya rakan-rakan jika tidak tahu menjawab soalan.
Markah saya memang naik cuma tak pernah menginjak ke angka 50. Saya mengalami kemurungan.
Saya jadi tidak yakin pada diri sendiri, selalu bimbang dengan peperiksaan SRP yang bakal tiba.
Saya mula jadi pendiam dan banyak termenung di dalam kelas. Di mana-mana pun saya selalu termenung.
Apabila cikgu mengajar saya memang memandang papan hijau tapi sebenarnya saya tiada di situ.
Fikiran saya sudah melayang pergi jauh ke suatu tempat yang bukan di kelas atau di rumah.
Saya berada di suatu tempat yang tak ada siapa atau apa pun yang dapat mengapa-apakan saya.
Pernah satu kali cikgu Lee dapat menangkap saya kerana 'tiada' di kelas. Saya tidak perasan langsung yang dia sudah lama merenung saya di hadapan kelas.
Pada masa itu dia sedang mengajar kami formula Matematik yang baru. Semasa dia berhenti mengajar dan memandang saya, semua pelajar lain pun memandang saya rupanya.
Dia memanggil nama saya beberapa kali barulah saya tersentak. Dia menegur saya, "Hah! Buat apa tu? Berkhayal ya?" Terkial-kial saya menjawab "Tak", sambil mengeleng-geleng kepala.
Dia menambah, "Tolong fokus bila saya mengajar." Saya mengangguk-anggukkan kepala sambil tersipu-sipu malu.
Semasa dapat keputusan gagal peperiksaan trial itu saya menangis. Mujur kawan-kawan kelas bagi semangat dan memujuk.
Bagi saya itulah semangat setiakawan yang merentasi bangsa dan budaya.
Suatu hari selepas waktu rehat kami kembali ke kelas. Saya pun masuk dan menuju ke meja dan duduk.
Semasa saya hendak mengambil bekas pensel di bawah meja, tiba-tiba tangan saya terpegang beberapa buah buku.
Rasanya saya tak simpan buku pun di bawah meja pagi itu. Saya menundukkan kepala dan mengambilnya.
Saya dapat sekeping sampul surat dan beberapa buku latihan Matematik. Saya melihat tulisan ada nama saya di luar sampul.
Saya tahu itu tulisan siapa. Saya toleh ke sebelah kanan dan melihat ke tempat duduk belakang.
Di tempat duduk belakang kelas itu ada dua orang pelajar terbaik di sekolah kami. Dia salah seorang daripadanya (Saya akan bercerita tentang hal ini mungkin kemudian).
Dia memandang saya sekejap dan kemudian terus buat-buat sibuk membuka bukunya. Saya buka sampul dan baca.
Dalam surat itu dia menasihatkan saya supaya jangan sedih dan kecewa dengan keputusan trial.
Dia mahu saya kuatkan semangat untuk lulus nanti. Masa berlalu tapi saya masih simpan surat itu hingga sekarang.
Oh ya, akhirnya saya lulus dengan mendapat kredit untuk subjek Matematik.
(533 pp)
No comments:
Post a Comment