Dahulu, kelas yang kami terpilih untuk masuk adalah berdasarkan ranking pelajar dalam peperiksaan akhir di seluruh tingkatan 1. Jumlah setiap pelajar bagi setiap kelas pula ialah dalam 45 orang.
Semasa masuk sesi persekolahan yang baru pada awal tahun itu, senarai nama penempatan para pelajar mengikut kelas masing-masing telah pun terpampang di notis besar di hadapan dewan sekolah.
Berasak-asak kami pada awal pagi itu untuk mencari nama masing-masing. Saya terjumpa nama saya. Saya telah dipilih masuk ke kelas 2A.
Kung Jim dan Fie masuk 2B. Siew Luang 2C. Hanya saya seorang daripada kelas lama yang masuk ke kelas 2A.
Sebahagian besar masuk ke 2B dan juga 2C. Nenek masuk kelas 2E. Geng mafia ada yang dapat kelas 2F dan 2G.
Toyyib semasa di tingkatan 1 berada di kelas lain. Bagaimanapun pada kali ini dia masuk ke kelas 2A sama dengan saya.
Toyyib adalah bekas kawan sekelas saya sewaktu dalam darjah 5 dan 6 dahulu. Di sinilah bermula kehidupan kami dengan rakan-rakan kelas yang baru dan kawan baik yang baru.
Sesekali jika terserempak kami akan bertegur sapa dan bertanya khabar.
Saya berjumpa semula beberapa kawan baik semasa di sekolah rendah di dalam kelas ini.
Amy, Lia dan Adry (bukan nama penuh). Amy gadis Bidayuh yang sangat menawan dan cantik. Sangat ramai peminat. Saya selalu menjadi posmen Amy dengan peminat-peminatnya.
Lia, gadis Cina berkaca mata yang putih melepak serta fasih berbahasa Melayu. Adry, jejaka Cina yang pernah duduk di sebelah saya semasa darjah 6. Lia dan Adry ini orang sekarang panggil Banana.
Kelas ini majoritinya pelajar Cina. Di sekolah saya pada masa itu, kebanyakan yang cemerlang adalah pelajar Cina yang datang daripada sekolah jenis kebangsaan.
Saya ada satu saja alasan logik untuk perkara ini iaitu mereka sangat rajin belajar.
Dalam kelas kami ada 25 orang pelajar Cina, 8 orang Melayu, 7 orang Iban dan seorang Bidayuh.
Apabila kita ada ramai rakan kelas baru yang nama mereka susah nak diingat, memang agak memeningkan.
Saya dan Amy selalu hadapi masalah bila nak merujuk kepada kawan-kawan Cina yang kami maksudkan.
Misalnya "Eh. Siapa nama budak lelaki yang tak ada bulu kaki itu ya, yang duduk di depan budak lelaki yang macam Fido Dido itu?" atau "Budak nama Tay Kay Hing (nama rekaan) yang mana satu? Cikgu Lee suruh dia pergi jumpa dia di bilik guru".
Serba salah. Tahu orangnya tapi tak tahu namanya. Tahu nama tapi tak tahu yang mana satu siapa orangnya. Oh, pening, pening.
Oleh yang demikian saya dan Amy pun mencipta satu kaedah iaitu memberi nama yang mudah diingati kepada mereka terutamanya yang lelaki dan nama itu lekat sampai sekarang.
Misalnya kami tukarkan nama mereka jadi nama artis terkenal contohnya, Michael Jackson. Haha. Senang nak ingat.
(Bersambung)
(443 pp)
No comments:
Post a Comment