Subjek lukisan semasa saya di sekolah menengah adalah dua kali seminggu.
Semasa di tingkatan 1, ada satu peristiwa yang saya tak akan lupakan sampai bila pun. Ini Kung Jim punya kerjalah.
Dalam kelas lukisan kami boleh merayau di dalam kelas sekiranya mahu meminjam warna atau apa-apa pun.
Sebab itulah kelas lukisan sangat menyeronokkan. Pada hari itu saya menggunakan pewarna minyak pastel untuk mewarna.
Tajuk yang cikgu berikan ialah 'Mimpi Yang Ngeri' dan cikgu cakap semua kena hantar lukisan sebelum atau pada masa loceng berbunyi.
Wah memang mencabar juga nak siapkan lukisan dalam tempoh 2 waktu. Tapi saya rasa memang boleh siap sebab pakai pewarna minyak pastel untuk mewarna.
Jadi tak perlu tunggu sampai kertas lukisan kering jika gunakan pewarna air.
Ramai yang pilih mimpi dikejar hantu, mimpi dikejar beruang atau harimau. Ramai buat yang sama.
Jadi saya dapatlah idea untuk melukis seseorang yang sedang memegang dahan pokok yang hampir patah di tengah sungai.
Pokok itu di tepi sungai tapi dahan nya melintang hingga ke tengah. Saya lukis elok dah wajah orang itu panik dan ketakutan.
Kemudian saya lukis pula seekor buaya yang sedang menunggu beliau jatuh apabila dahan itu patah.
Masa berlalu pantas. Tinggal 15 minit untuk serahkan lukisan. Saya dah hampir siap mewarna tinggal buaya yang saya lukis itu belum sempurna lagi bentuknya.
Tahu sajalah bila mewarna pakai pewarna minyak pastel kadang-kadang lukisan akan nampak comot sehinggalah kita lakukan finishing nak bagi cantik.
Pada masa yang sama tiba-tiba kawan baik saya yang bernama Fie minta saya tolong dia mewarna.
Banyak lagi rupanya bahagian yang belum diwarnakan. Fie melukis seorang perempuan dikejar seekor haiwan.
Dia kata harimau tapi saya nampak dia lukis macam kambing. Tapi tak mengapalah.
Saya ambil kertas lukisannya sambil memanggil Kung Jim di hadapan. Dia dan Siew Luang sudah siap. Sudah siap kerja, apa lagi, membawanglah dua orang itu.
Kung Jim menoleh ke belakang dan tanya "Apa?" Saya menghulurkan dia kertas lukisan dan kata "Tolong warna. Saya nak tolong Fie". Kung Jim mengangguk setuju lalu mengambil kertas lukisan.
Dia melihat lukisan saya lalu mengambil beberapa warna dan terus berpusing semula ke depan dan mewarna.
Saya pun sama mewarna lukisan Fie. Disebabkan hendak cepat jadi saya biarkan lukisan itu sebagaimana ia dilukis. Apa yang penting habiskan mewarna.
Tinggal beberapa minit loceng berbunyi boleh dikatakan hampir semua pelajar dalam kelas siap mewarna.
Saya pun sama. Saya serahkan lukisan Fie di belakang. Kung Jim pun sama. Dia bagi semula lukisan saya sambil berkata "Siap".
Apabila saya mengambil dan melihat lukisan itu alangkah terkejutnya saya! "Jim! Ini buaya lah! Bukan batang kayu! Adeh!"
Kung Jim ketawa. Siew Luang dengan Fie pun sama ketawa. "Hahaha. Mana saya tahu. Saya ingat batang kayu." jawabnya. "Eh! Mana ada orang mimpi ngeri dengan batang kayulah. Ini buaya! Elok dah saya lukis tadi"
Kung Jim pun kata "Hah sorry! Sorry! Bagi sini saya betulkan". Dia ambil semula kertas lukisan itu, ambil warna yang dia hendak guna dan pusing semula ke depan.
Saya pun serahkan semula lukisan tadi. Saya tunggu. Tahu tak dia buat apa? Dekat batang kayu itu dia buat dua biji mata besar berwarna hitam. Tepi batang kayu tu dia buat zig zag supaya nampak macam belakang buaya. Kelakar sungguh jadinya.
Fikiran saya jadi kacau sekejap. Sedang saya berfikir apa yang patut saya buat, loceng akhir tiba-tiba berbunyi dan kami semua pun menyerahkan lukisan kepada cikgu.
Saya cuma sempat touch up sikit saja hingga akhirnya saya kata hah biarlah. Saya serahkan kertas lukisan kepada cikgu dan bersiap untuk balik.
Minggu depan dalam kelas lukisan. Seperti selalu, cikgu akan memilih beberapa lukisan yang cantik dan menunjukkan lukisan-lukisan itu kepada kelas.
Ada yang bertepuk tangan. Tak kurang juga yang berkata "Wahhhhh". Dan seperti biasa cikgu juga akan menunjukkan lukisan yang tak berapa menjadi.
Saya berdoa sangat bukan lukisan saya yang dijadikan contoh. Namun apakan daya, nampaknya takdir tak menyebelahi saya ketika itu.
Sebaik saya cikgu mempamerkan lukisan saya, satu kelas riuh rendah ketawa. Termasuklah yang mewarnakan lukisan saya itu. Aih. Saya rasa hendak cekik-cekik saja budak itu.
Dari jauh pun lukisan itu nampak kelakar dan buruk. Cikgu sambil tersengih-sengih bertanya kepada kami "Ini buaya ke batang kayu?"
Lagi sekali kelas gamat. Sebenarnya cuma empat orang kami saja yang tahu itu lukisan saya.
Sudah itu, si Kung Jim, Siew Luang dengan Fie ketawa sambil pandang saya jadi ada yang suspek sayalah empunya lukisan.
Kalau geng mafia tahu sapa pelukis itu habislah saya kena troll satu penggal sekolah agaknya.
Mujurlah cikgu tak tunjukkan lukisan kemudian panggil nama pelukis untuk serahkan lukisan. Saya selamatlah sikit.
Tapi tak aci juga cikgu tak tunjuk lukisan Fie. Mesti cikgu mati-mati ingat mimpi ngeri yang Fie lukis itu ialah kambing. Eh, ada agaknya orang fobia dengan kambing.
Semenjak kejadian itu saya tak pernah lagi minta tolong siapa-siapa pun mewarna lukisan saya. Kalau subjek lain masih lagilah. Hehehe.
(793 pp)
No comments:
Post a Comment