Tadi tengahari makan apa? Makan di mana? Cuba ini. Besok-besok apabila lapang sebelah pagi, tengahari atau malam, pergi ke kafetaria atau ke mana-mana restoran atau mungkin makan di rumah, ambil nasi berlauk.
Misalnya ambil nasi lauk ikan goreng dan sayur kubis tumis. Sebelum makan perhati makanan kita. Lihat pada nasi dulu.
Nasi yang kita ceduk tadi itulah rezeki kita rupanya. Terfikir tidak dari mana datang beras yang akhirnya jadi nasi itu yang akhirnya Allah takdirkan sejak di Luh Mahfuz sebagai rezeki kita.
Siapa yang tanam pokok padi itu dan di mana ia ditanam? Kemudian ia dituai serta diproses. Banyak prosesnya sampailah beras dibeli oleh empunya kafetaria.
Seperti kebetulan pula kita ke situ untuk makan. Lihat pula ikan goreng. Ikan apa yang kita ambil tadi? Oh ikan kembung rupanya. Bayangkan daripada berjuta ikan yang ada di lautan. Dan lautan yang kita pun tak tahu yang mana satu. Agaknya dari Laut Atlantik. Entah-entah Laut Cina Selatan atau Laut Pasifik. Jauh tu.
Dari sejak ia menetas daripada telurnya dan ia jadi ikan selama beberapa waktu hinggalah ia matang. Lalu ia ditangkap oleh nelayan.
Siapa pula nelayan yang beroleh rezeki menangkap ikan itu. Kemudian dibawanya ke darat lalu dijualnya. Duit hasil tangkapan dia gunakan untuk kehidupan.
Ikan itu (ya ikan goreng kita tadi) pula dibawa ke sebuah tempat atau negeri. Misalnya dari jeti Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Di situ terjadi beberapa proses jual beli.
Ikan pun sampai di dapur kafetaria untuk dimasak sebagai lauk. Jauhnya perjalanan rezeki kita itu. Tapi tak tergendala langsung perjalanannya. Lancar saja. Kata orang rezeki tak pernah salah alamat. Memang iya. Masya Allah. Hebatnya Dia mengatur segala sesuatu.
Sayur kubis tumis pun sama. Daripada biji benih ia ditanam dan tumbuh. Sebahagian daripada sayur kubis yang kita ceduk itulah Allah sudah tetapkan sebagai rezeki kita.
Bahan untuk tumis semuanya itu Allah dah tetapkan berapa banyak untuk kita makan. Semasa menyuap makanan ke mulut cuba lihat jam berapa. Nah! Tengok tu! Pukul 1.05 pm. Allahu. Masa rezeki masuk ke mulut untuk dikunyah.
Jadi bila-bila nanti kita di kedai makan. Kita pesan makanan tapi tak sampai. Lambat pula tukang masak itu buat. Jangan marah tahu.
Semuanya ada sebab. Sebabnya ialah belum tiba masanya ia jadi rezekimu . Jadi tunggulah sampai ia datang kepadamu.
(365 pp)
No comments:
Post a Comment