Semasa di menengah rendah, pelajar perempuan boleh memilih untuk ambil subjek Sains Pertanian atau Sains Rumahtangga.
Pelajar lelaki tiada pilihan melainkan mengambil Sains Pertanian. Kalau pilih juga Sains Rumahtangga barangkali boleh masuk Guinness Record.
Saya ambil subjek Sains Pertanian sebab saya tak mampu nak memilih Sains Rumahtangga yang perlukan banyak perbelanjaan untuk membeli alat-alat menjahit dan masakan.
Bapak cuma mampu bagi saya 50 sen saja setiap hari. Jadi saya tidak mahu menyusahkan mak atau bapak dalam hal ini. Banyak perkara yang melibatkan wang saya buat keputusan sendiri.
Sains Pertanian ada kalanya memang membosankan. Bayangkanlah kita cuma belajar tentang tumbuhan dan haiwan di dalam kelas.
Belajar pasal kambing tapi tak ada kambing pun untuk dilihat di sekolah. Kalau sekarang agaknya bolehlah buat field trip ke ladang-ladang pertanian supaya pelajar boleh didedahkan bukan setakat dari aspek teori bahkan praktikal.
Apabila saya belek-belek majalah sekolah yang lama iaitu dalam zaman 70-an, subjek Sains Pertanian sangat happening di sekolah saya itu.
Mujur juga ada praktikal menanam sayur. Dengan batas-batas yang ditanam pelbagai jenis sayuran, ada kolam untuk bela ikan air tawar.
Paling menarik sekali ialah ada kandang-kandang untuk bela babi. Pada zaman itu majoriti pelajar di sekolah itu adalah bukan Islam termasuklah pengetuanya.
Jadi haiwan-haiwan ini dijaga (diternak) oleh pelajar-pelajar yang bukan Islam. Pelajar Islam menjaga kolam ikan (dah tentulah kan).
Berbalik semula dengan menanam sayur. Banyak jenis sayuran yang dipilih untuk ditanam seperti sawi, bayam, cili, terung, timun dan lain-lain.
Setiap kelas pula dibahagikan kepada kumpulan. Setiap kumpulan pula ada batas sayuran untuk dijaga pada sepanjang masa.
Secara teori, cikgu akan mengajar cara-cara menanam di dalam kelas. Praktikal adalah di kebun.
Ada kumpulan kawan saya ini, tak tahulah agaknya semasa cikgu mengajar di kelas mereka mungkin senyap-senyap bermain dam ular di belakang.
Nama kawan saya ini Toyyib (bukan ejaan sebenar). Dia jadi ketua kumpulannya. Semasa kami menanam benih dengan kaedah yang diajar cikgu, mereka telah menabur benih bunga di atas batas seumpama menabur bunga rampai semasa pengantin sedang berjalan ke pelamin.
Sepatutnya benih-benih tersebut di tanam di dalam lubang yang telah dibuat kemudian ditutup sedikit dengan tanah.
Apabila telah bercambah dan tumbuh, baharulah dicabut tunas sayur yang lemah. Tinggalkan yang elok saja.
Beberapa hari selepas menanam mereka dapati tunas sayur mereka tumbuh seperti rumput.
Akhirnya batas sayur mereka tak berapa menjadi. Tapi semasa menuai hasil, mereka pun menuai juga hasil tapi bukan daripada batas sayur merekalah.
Senyap-senyap mereka petik sayur daripada batas sayur kumpulan lain dan bawa balik ke rumah. Hahaha jahat gila.
Bagaimana saya tahu? Toyyib yang beritahu selepas berpuluh tahun kemudian semasa reunion kami.
Sekarang cerita Toyyib itu telah menjadi kenangan manis. Cuba dia cerita apa yang dia buat kepada kami pada zaman dia petik sayur itu, mahu kena luku agaknya. Hahaha
No comments:
Post a Comment